Pejam celik- pejam celik, sekarang dah bulan ogos. Cuti pertengah semester selama seminggu akan bermula minggu depan. Majlis pernikahanku akan berlangsung di Kuching pada hari Sabtu dan bersanding pada hari Ahad. Sepanjang kami bertunang, hanya dua kali kami berjumpa. Itupun ditemani oleh Hajah Naimah untuk membeli kelengkapan majlis perkahwinan kami nanti.
Perkahwinan ku ini tidak pula ku beritakan kepada sesiapapun baik teman-teman sekelas mahupun teman-teman sama sekolah dan diploma. Lagipun, aku memang tidak rapat dengan sesiapa sesama di sekolah dan di kelas. Jadi, tidak perlulah aku memberitahu yang lain.
Seperti kebiasaan di Sarawak, majlis akad nikah diadakan di rumah pengantin perempuan iaitu di rumahku di Kuching. Pada jam 8 pagi, rombongan pengantin lelaki tiba dan akad pada jam 10 pagi. Gementar hatiku ketika akad diperdengarkan. Dengan sekali lafaz, Mamduh sah bergelar suamiku yang sah. Emak memelukku dan ku lihat terdapat titisan air mata pada wajah emak. Mungkin terharu yang aku sudah bergelar isteri orang. Pernikahanku ini menggunakan wali hakim, namun abah tetap berada di samping Tok Kadi membuatkan aku turut menitiskan air mata.
Sebelum aku masuk ke kamar pengantin, aku terlebih dahulu memasuki bilik tidur Farhana dan Nabilah. Sebelum ini, aku juga penghuni bilik ini bersama Nabilah. Farhana memilih untuk tidur bersendirian di kamar yang telah menjadi bilik pengantinku kini. Aku berbual-bual dengan Farhana dan bertanya tentang pelajaran dan hal-hal menarik tentang universitinya. Nabilah pula lebih selesa mendengar dan meminta aku memeluknya sehingga tertidur. Dia memang manja.
Ketukan pintu bilik diselangi suara emak membuatkan kami terdiam. Emak masuk ke bilik dan menyuruh Farhana tidur dan aku untuk kembali ke kamar pengantin. Kata emak, awal pagi esok kena bersiap awal. Majlis bersanding bermula seawal 10 pagi. Kebiasaan di Sarawak, majlis akan bermula seawal jam 8 pagi dan tamat pada 12 tengah hari.
Jam sudah menunjukkan ke angka 11 malam. Sudah lewat kalau berada di negeriku kerana subuh di sana pada pukul 5.05 pagi. Ku lihat Mamduh sudah terbaring di atas katil dengan lampu bilik yang sudah dipadamkan. Aku mengambil tempat di sebelah kirinya. Dia masih seperti tadi, tidak beralih.
Aku tersedar daripada tidur pada jam 2 pagi apabila terdengar bunyi guruh di luar. Hujan lebat di luar membuatkan suhu bilik semakin sejuk dan aku tidak berselimut. Dari bias cahaya dari luar, ku lihat Mamduh sudah mengerekot di sampingku. Ku capai selimut untuk menyelimuti kami berdua. Walaupun aku takut sebenarnya untuk berduaan di dalam ini, aku rasa belas hatiku dan rasa tanggungjawab lebih kuat. Ku gagahi jua untuk meneruskan tidur bersama suamiku.
Bacaan quran dari masjid yang terletak tidak jauh dari rumah ini menyedarkan aku dari tidur. Tangan Mamduh yang melingkari tubuhku membataskan aku untuk bangun dari katil. Hujan di luar sudah berhenti. Ku cuba kalihkan tangannya tetapi tidak berjaya. Pelukan yang kejap membuatkan aku tidak jadi untuk bangun walaupun aku sedar 30 minit lagi masuk waktu subuh.
Azan Subuh menyentakkan aku dari tidur. Ketika aku membuka mataku, alangkah malunya aku apabila menyedari bahawa kami sedang berpelukan dan aku berbantalkan lengannya. Wajah kami begitu dekat sehingga aku dapat merasai deruan nafasnya. Terkejut dengan kedudukan kami, aku menolak tubuhnya. Namun sia-sia. Setelah berkali-kali memanggil nama Mamduh, akhirnya dia tersedar dan mengalih tangannya.
Khamis, 18 Februari 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan