Saatnya bertahun dulu sewaktu belum aku mengerti akan apa itu emosi. Suatu masa tatkala senja mahu melabuhkan punggung, dan tanpa rasa canggung melihat beburung terbang pulang. Suatu petang yang damai, disinari remang mentari malap atau bisa ku panggil malap. Di situ aku tetap duduk bersama ibu.
Indahnya langit ku lihat. Tetapi ku tertanya sendiri, apakah itu langit yang datangnya siang dan perginya malam. Sehingga aku mengerti langit tak pernah datang dan pergi. Tegaknya selari, kukuh berdiri seperti sudah tentunya arahan Ilahi. Dan waktu itu, sesuap demi sesuap nasi masuk ke mulutku. Aku tahu itu ibu, yang saban hari menyapik ke mulutku ingin melihat aku sihat membesar hingga sekarang. Ah, ibu! Kalau waktu boleh diputar akan turut ku sendiri menyuap nasik ke mulutmu. Supaya kita saling membantu, aku kenyang dan ibu turut begitu. Namun sudah diketahui sejak azali, mana mungkin masa dapat kembali. Rahsia alam sedari dulu tak mampu ku ungkaikan, sehingga sekarang masih begitu.
Kicauan burung meluru laju ke sarang dan ibu turut menyanyi riang. Tapi bukan bersama melodi lagu cuma cukup kata-kata yang baru ku fahami sekarang. Ibu menokok masuk ke telinga untuk aku mengerti maksudnya suatu hari nanti. Agar aku jadi insan berguna dan menjadi anak harapannya. Ku tatap raut ibu, ada garis halus di mata tanda tua menghampiri ibu. Tapi ibu tetap gagah kerana ibu masih berjuang dan jadi pejuang.
Bertahun dahulu, tatkala aku dan ibu duduk menanti langit pulang tertanya aku tentang masa depan. Adakah aku tetap begini masih tidak mengerti akan dewasa aku nanti? Nasi ki telan namun ibu tegur harus dikunyah. Aku terbatuk dan ibu acukan cawan berisi air ke bibirku. Ku teguk dan hilanglah batuk. Aku bertanya itu dan ini. Tentang mana arahnya sekawan burung itu melayang. Tentang mentari garang sudah tidak berbahang. Tentang Datangnya dan pulangnya bumi menjadi kelam. Tentang makan nasi dan rasanya nyaman. Dan ibu menjawab satu demi satu walhal aku sendiri seperti tidak mendengar jawapan ibu. Cumaku tahu aku harus bertanya dan ibu wajib menjawab. Andai ibu terleka tak dengar tanyaku, ku ulang tanpa jemu sehingga ibu tunduk melihat raut anknya dan menjawab tenang. Ah, ibu! Tenang dan damai wajahmu.
Aku sudah kenyang dan pinggan sudah kosong. Tak terasa pijar aku duduk di pangkin hadapan rumah. Tak bosan aku bertanya ibuku walau setiap hari dengan soal yang sama. Dan tak lejuk ibu melayan setiap patah bicara ku yang masih pelat. Kedengaran mikrofon di surau sudah berbunyi. Tandanya maghrib dan menghampiri. Lalu ibu menuntuku masuk ke rumah. Aku menoleh ke langit, tanda langit juga mahu pulang dek mentari sudah tidak bersinar. Aku berbisik, langit esok kita bertemu lagi. Dan aku akan bertanya itu dan ini. Ibu tetap dengan raut dan tuturnya, melayan aku ananknya tersayang.
Sabtu, 27 Februari 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan