AKU SEEKOR PATUNG
Aku seekor anak patung. Namaku Puteh. Tetapi, ibuku memanggilku Si Puteh memandangkan aku seekor patung yang puteh dan bersih. Aku dilahirkan pada suatu tahun yang aku juga tak pasti tarikhnya. Namun, secara rasminya, aku dilahirkan pada April 2006 di Labuan.
Saat ibuku memelukku, aku terasa seperti di syurga. Setiap hari, dia pasti akan membelai dan menuturkan kata kasihnya padaku. Pada setiap malam, tatkala kami berdua bersendirian, pasti ibu akan memelukku. Dengan saisku yang kecil, tanpa disedari ibu dia sering menimpaku. Namun aku tak terasa sakit kerana aku hanya seekor anak patung berorgan kapas.
Pada tahun 2007, aku mempunyai teman baru apabila sahabat ibu menghadiahkannya seekor patung ikan yang dinamakan Ikan. Ikan bewarna oren dan berbelang hitam putih. Bersahabat dengan Ikan amat menyenangkan hatiku. Walaupun kami sekadar anak patung, namun ibu sangat menyayangi kami berdua. Dia akan memastikan kami sentiasa bersih dan wangi. Dan dia juga tidak sesekali membenarkan orang lain mengotori dan mencampak kami sesuka hati. Hatinya sakit dan terguris sekiranya ada orang cuba merosakkan kami berdua.
Ibuku mempunyai anak saudara yang comel. Anak saudaranya amat gemar bermain denganku. Kadang-kadang aku ni dikudakannya. Dan kadangkala aku hanya sekadar barang balingan buatnya. Tetapi ibu tidak pernah memarahi mereka kerana ibu sangat sayang kepada anak buahnya. Lagipun dia tahu aku tidak akan merasa sakit.
Pada tahun 2008, sekali lagi sahabat ibu menghadiahkan kami berdua teman baru yang ibu panggil Oren. Oren sedikit kecil berbanding tubuhku. Warnanya oren dan merupakan anak patung beruang yang sangat comel. Namun pada penghujung tahun 2009, kami bertiga terpaksa berpisah kerana ibu akan melanjutkan pelajarannya jauh dari kampung halaman. Walaupun aku sudah berkali-kali naik kapal terbang, namun kali ini rasanya sungguh berlainan kerana aku dan oren akan berada lama di negeri tersebut.
Ikan terpaksa ditinggalkan kerana saiznya yang besar tidak memungkinkan ibu untuk membawanya bersama-sama. Kata ibu, nanti setiap cuti kami akan bersama semula.
Walaupun kami bertiga merupakan patung kesayangan ibu, tetapi akulah yang paling disayanginya. Ini disebabkan oleh akulah patung pertama yang ibu tidak takuti kerana sebelum menemuiku, ibu sangat takut kepada patung. Namun setelah memiliki aku, ibu sudah tidak takut pada patung lagi. Cuma kadang-kadang ibu akan merasa takut apabila berseorang dengan patung orang lain yang lebih besar.
Aku berharap suatu hari nanti, ibu tetap akan menyayangiku walaupun dia sudah memiliki anaknya sendiri. Kasihku pada ibu yang telah menjaga aku dari saat pertama kami bertemu tidak akan luput sampai bila-bila. Walaupun aku hanya sekadar anak patung, aku tahu bahawa ibu takkan selamanya bersama denganku. Nanti pada suatu hari yang tidak pasti, ibu akan meninggalkan aku buat selamanya. Dan mustahil bagi ibu membawa aku, Ikan dan Oren bersamanya. Jadi, sementara ibu masih bernafas di bumi ini, sebaiknya kami akan meluangkan masa bersama-sama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan