Memaparkan catatan dengan label Kekeluargaan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kekeluargaan. Papar semua catatan

Sabtu, 13 Jun 2009

Kahwin: Jangan Pandang Sebelah Mata

Kahwin: Jangan Pandang Sebelah Mata

Wah, kacaknya dia!
Dia kaya. Aku mahukannya.
Bergayanya dia. Pasti untung sesiapa yang memilikinya.

Eww, tak naklah dia tu! Dahlah tak handsome, miskin pulak tu.
Aw, nerd nya. Siapalah yang malang yang akan jadi pasangannya?

Alahai, memilih sangatlah. Tak kira lelaki mahupun wanita menyukai sesuatu dengan hanya melihat sahaja. Yang cantik dan kacak pasti menjadi pilihan. Yang kurang manis letak ke tepi. Yang kaya dipandang tinggi. Kalau setakat cukup-cukup makan, lupakan saja!

Aik, janganlah macam tu. Tak semua sempurna.

~Dari 'Abdullah bin Umar r.a., Rasulullah saw bersabda: "Wanita, rumah dan kuda, ada segi-seginya yang tidak baik."

See!Tak semua sempurna...Mari kita renung-renungkan hadis di bawah...

Dari Sahl r.a., katanya: Ada seorang laki-laki lewat di depan Rasulullahsaw. Rasulullah saw bertanya kepada para sahabat baginda: "Bagaimana pendapatmu tentang laki-laki ini?" Mereka menjawab: "Orang ini, kalau ia meminang, pinangannya hendaklah diterima. Kalau ia minta tolong, harus ditolong. Kalau ia berbicara, harus didengar." Rasul diam saja mendengar jawapan itu. Setelah itu lewat pula seorang laki-laki Islam yang miskin. Rasul bertanya lagi: "Bagaimana pendapatmu tentang orang ini?" Merek menjawab: "Orang ini kalau meminang jangan diterima, kalau ia minta tolong jangan ditolong, kalau ia bericara jangan didengar." Lalu Rasulullah saw berkata: "Orang ini lebih baik dari sepenuh bumi orang seperti tadi".
~Sahih Bukhari~

Makanya, kita tidak boleh menilai baik dan buruk seseorang itu hanya kerana luarannya sahaja. Yang cantik jangan dipuja. Yang jelik jangan dihina. Yang kaya jangan dipandang mulia, yang miskin janganlah dicerca...Sama-sama ada lebih, adalah yang kurang. Kita mesti terima seadanya.

Kahwin: Wanita Sebagai Rumah

Kahwin: Wanita sebagai Rumah

Pada tahun 2007, waktu itu saya sedang menuntut di UiTM di semester 3. Kami diminta untuk menyiapkan dan membentangkan tugasan yang telah diberikan oleh pensyarah untuk matapelajaran Kekeluargaan Islam. Kumpulan saya diberi tajuk Pasangan Pilihan:Cara Mencari Jodoh. Dan saya pada waktu itu ditugaskan untuk membuat bagaimana lelaki mencari jodoh. Pada waktu itulah timbulnya idea dan teori wanita sebagai rumah. DAn syukur, pensyarah amat tertarik dengan penyampaian dan teori yang sya bentangkan. Dan saya sangat gembira untuk berkongsi dengan anda semua. Moga-moga pemahaman kita dalam mencari jodoh masing-masing dapat dipertingkatkan seterusnya sebagai panduan untuk kita.

Dari Abu Hurairah r.a.; Rasulullah saw bersabda: "Wanita dikahwini kerana empat hal: kerana harta bendanya, kerana status sosialnya, kerana keindahan wajahnya, dan kerana ketaatannya kepada agama. Pilihlah wanita yang taat kepada agama, maka kamu akan bahagia." ~Sahih Bukhari~

Kerana harta bendanya. Dalam zaman dunia yang menuntutkan wang ringgit dalam seharian, ramai juga yang meletakkan kekayaan sebagai ciri utama dalam memilih pasangan hidup. Sebahagian lelaki percaya, apabila wanita yang mahu dikahwininya stabil dalam soal kewangannya, maka adalah mudah bagi mereka melayari bahtera perkahwinan. Di sini, saya mahu membawa anda semua untuk memahami makna anatara harta benda dan rumah.
Harta benda dapat kita umpamankan sebagai wang dalam sesebuah rumah atau keluarga. Dengan wang yang banyak, kita dapat menghias rumah dengan membeli pelbagai perkakasan yang cantik, mahal dan berkualiti tinggi. Kita mampu untuk membuat rumah yang lebih besar dengan dilengkapi dengan pelbagai peralatan serta dengan taman-taman. Pastinya kita seronok dan bangga dengan rumah yang kita miliki itu.

Kerana status sosialnya. Status sosial ialah kedudukan wanita itu dalam masyarakat dan keturunannya. Hari ini, kita sering mendengar bagaimana sebahagian ibubapa meletakkan keturunan sebagai pilihan utama dalam memilih jodoh anak masing-masing. Sebagai contoh, Syed mestilah kahwin dengan Sharifah, Awang dengan dayang, Tengku pasti dengan Tengku, anak dato' mesti dipadankan dengan anak dato' yang lain, dan sebagainya. Bagi mereka, dengan nama yang mereka junjung itu kelak akan melahirkan anak yang dipandang tinggi dan dihormati lanataran kerana keturunan bangsawan yang mereka warisi. Kita kaitkan pula keturunan dengan pembinaan rumah. Dengan reputasi arkitek, kontraktor dan kepakaran para jurutera dalam pembinaan sesebuah rumah, pasti semua kita mahukan yang berkualiti tinggi. Kerana dengan reputasi tersebut, rumah akan terjamin selamat, selesa dan menenangkan.

Kerana keindahan wajahnya. Semua manusia sukakan kecantikan. Itu fitrah kita semua. Sang pemuda pastinya sukakan gadis yang cantik dan rupawan. Sekiranya mereka berjaya menawan hati gadis yang menjadi kegilaan ramai, pasti lelaki itu berasa bangga apatah lagi berjaya memilikinya sebagai isteri. Begitu juga dengan rumah yang kita bina. Pastinya kita semua mahukan rumah kita itu diserikan dengan hiasan yang cantik, dicat dengan warna yang menarik, dilengkapi dengan keindahan taman bunga yang indah. Hiasan dalaman yang menarik pasti merehatkan si pemilik.

Kerana ketaatan agamanya. Agama yang dimaksudkan semestinya Islam. Ketaan agama dapatlah diandaikan sebagai tapak rumah tersebut. Tak kira di mana-mana pun rumah yang kita bina, kita memerlukan tapak yang kukuh. Di tebing sungai, di atas lautan, di atas dataran tanah yang lapang... Semua itu memerlukan tapak asas yang kukuh bagi menjamin keselamatan rumah yang ingin kita bina dan miliki. Walau bagaimana cantik pun rumah itu, andai mudah roboh, tiada gunanya. Pakar macam manapun orang yang membuat rumah, kalau tapak binaan tidak selamat, tiada siapa yang berani mendiaminya. Walau mahal sekalipun perhiasan rumah kita, andai tapak rumah yang kita diami mudah runtuh, siapapun tidak mahu memiliki rumah tersebut. Begitulah wanita. Dengan asas dan penghayatan agama yang cemerlang dan dilengkapi dengan akhlak yang mulia, siapapun akan selamat bersama dengannya.

Ingatlah, kekayaan tidak berkekalan selamanya.Keturunan tidak menjamin baka yang mulia. Kecantikan akan pudar dengan sendirinya. Hanya iman dan amalan yang soleh akan kita bawa ketika mati. Dengan iman, wanita dapat mendidik anak-anak menjadi soleh solehah. Dengan iman, kecantikan wanita akan terserlah dengan sendirinya. Denagn iman, wanita akan sentiasa merasa cukup dan kaya dengan sendirinya...

Semoga kita semua mendapat pasangan yang baik untuk diri masing-masing.

Kahwin: Tak Nak?

Perkahwinan merupakan perkara yang sangat dinanti-nantikan dalam kehidupan seorang manusia yang inginkan ketenangan dan kebahagian. Perkahwinan bukan sekadar menghalalkan yang haram, tetapi merupakan tuntutan kerohanian yang amat dikehendaki oleh agama. Sehinggakan ada yang menyatakan melaksanakan perkahwinan umpama telah melengkapkan sebahagian iman itu sendiri.

Namun, dalam senario masa kini ramai yang berpendapat berkahwin bukanlah pilihan utama dalam kehidupan. Bagi yang tidak mengenal akan akhlak yang baik, mereka tegar untuk melakukan zina kerana bagi mereka itu hanya untuk memenuhi tuntutan fizikal, kehendak biologi masing-masing. Tidak kurang pula ada yang menyatakn perkahwinan hanyalah ritual atau adat yang hanya membebankan sesiapa yang berkahwin kerana menyekat kebebasan mereka dalam berhubungan antara lelaki dan wanita.

Selain itu, ada juga sebahagian kita menolak institusi perkahwinan atas alasan mengganggu ibadah seharian setelah berkahwin. Dalam hal ini, adalah baik untuk kita kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Mengimbas kembali yang ada dinyatakan di dalam hadis Sahih Bukhari yang bermaksud:

Dari Anas bin Malik r.a., katanya:
Ada tiga orang lelaki datang berkunjung ke rumah isteri-isteri Nabi s.a.w. bertanya tentang ibadat baginda. Setelah diterangkan kepada mereka, kelihatan bahawa mereka menganggap bahawa apa yang dilakukan apa yang dilakukan Nabi saw itu terlalu sedikit. Mereka berkata: "Kita tidak dapat disamakan dengan Nabi. Semua dosa baginda yang telah lalu dan yang akan datang telah diampuni Allah." Salah seorang daripada mereka barkata : "Untuk saya, saya akan selalu sembhyang sepanjang malam selama-lamanya". Orang kedua berkata: " Saya akan berpuasa setiap hari, tidak pernah berbuka." Orang ketiga berkata: " Saya tidak akan pernah mendekati wanita. SAya tidak akan kahwin selama-lamnya."
Setelah itu Rasulullahsaw datang. Baginda bersabda:" Kamukah orangnya yang berkata begini dan begitu? Demi Allah! SAya lebih takut dan lebih bertaqwa kepada Tuhan dibandingkan dengan kamu. Tetapi saya berpuasa dan berbuka. Saya sembahyang dan tidur, dan saya kahwin. Barangsiapa yang tidak mau mengikuti sunnahku, tidak termasuk ke dalam golonganku."

Nah, di sini kita dapat simpulkan bahawa sesiapa yang menolak perkahwinan bukanlah tergolong dalam golongan umat Nabi saw. Janganlah kerana kita terlalu mengejar ukhrawi, sehingga kita lupa akan dunia yang kita duduki. Untuk mendapat kebahagian akhirat, terlebih dahulu kita bersiap sedia dengan bekalan, iaitu dengan mengejarkan pekerjaan yang baik yang diredha Allah dan itu adalah di atas muka bumi ini sebelum kita mati.

Akan tetapi tibul pula persoalan akan kesanggupan seseorang itu berkahwin dan kemudaratan yang bakal dibawa oleh seseorang itu kepada orang yang dikahwini. Dalam persoalan ini, adalah baik untuk kita menghayati apa yang telah dinyatak oleh Nabi saw.

Daripada 'Abdullah r.a., katanya:
"Di zaman Rasulullah, kami adalah pemuda-pemuda yang tidak memiliki apa-apa. Rasulullah saw berkata kepada kami: "Hai para pemuda! Siapa yang mampu berumahtangga, kahwinlah! Perkahwinan itu melindungi pandangan mata dan memelihara kehormatan. Tetapi sesiapa yang tidak sanggup kahwin, berpusalah, kerana puasa itu benteng baginya."

Adapun mampu yang dimaksudkan adalah dari pelbagai sudut. Bukan dari sudut fizikal semata-mata. Kesediaan mental untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang suami bagi seorang lelaki dan tanggungjawab seorang isteri bagi seorang wanita adalah yang paling dituntut. Lelaki hendaklah tahu mendidik isteri dengan sebaiknya agar dapat menjaga kerohanian rumahtangga selain tiada sangsi antara suami terhadap isterinya. Isteri pula, hendaklah pandai menjaga kerukunan rumahtangga dan mendidik anak-anak agar menjadi soleh dan solehah seterusnya membentuk masyarakat yang berakhlak tinggi di masa akan datang.