Pada tahun 2007, waktu itu saya sedang menuntut di UiTM di semester 3. Kami diminta untuk menyiapkan dan membentangkan tugasan yang telah diberikan oleh pensyarah untuk matapelajaran Kekeluargaan Islam. Kumpulan saya diberi tajuk Pasangan Pilihan:Cara Mencari Jodoh. Dan saya pada waktu itu ditugaskan untuk membuat bagaimana lelaki mencari jodoh. Pada waktu itulah timbulnya idea dan teori wanita sebagai rumah. DAn syukur, pensyarah amat tertarik dengan penyampaian dan teori yang sya bentangkan. Dan saya sangat gembira untuk berkongsi dengan anda semua. Moga-moga pemahaman kita dalam mencari jodoh masing-masing dapat dipertingkatkan seterusnya sebagai panduan untuk kita.
Dari Abu Hurairah r.a.; Rasulullah saw bersabda: "Wanita dikahwini kerana empat hal: kerana harta bendanya, kerana status sosialnya, kerana keindahan wajahnya, dan kerana ketaatannya kepada agama. Pilihlah wanita yang taat kepada agama, maka kamu akan bahagia." ~Sahih Bukhari~
Kerana harta bendanya. Dalam zaman dunia yang menuntutkan wang ringgit dalam seharian, ramai juga yang meletakkan kekayaan sebagai ciri utama dalam memilih pasangan hidup. Sebahagian lelaki percaya, apabila wanita yang mahu dikahwininya stabil dalam soal kewangannya, maka adalah mudah bagi mereka melayari bahtera perkahwinan. Di sini, saya mahu membawa anda semua untuk memahami makna anatara harta benda dan rumah.
Harta benda dapat kita umpamankan sebagai wang dalam sesebuah rumah atau keluarga. Dengan wang yang banyak, kita dapat menghias rumah dengan membeli pelbagai perkakasan yang cantik, mahal dan berkualiti tinggi. Kita mampu untuk membuat rumah yang lebih besar dengan dilengkapi dengan pelbagai peralatan serta dengan taman-taman. Pastinya kita seronok dan bangga dengan rumah yang kita miliki itu.
Kerana status sosialnya. Status sosial ialah kedudukan wanita itu dalam masyarakat dan keturunannya. Hari ini, kita sering mendengar bagaimana sebahagian ibubapa meletakkan keturunan sebagai pilihan utama dalam memilih jodoh anak masing-masing. Sebagai contoh, Syed mestilah kahwin dengan Sharifah, Awang dengan dayang, Tengku pasti dengan Tengku, anak dato' mesti dipadankan dengan anak dato' yang lain, dan sebagainya. Bagi mereka, dengan nama yang mereka junjung itu kelak akan melahirkan anak yang dipandang tinggi dan dihormati lanataran kerana keturunan bangsawan yang mereka warisi. Kita kaitkan pula keturunan dengan pembinaan rumah. Dengan reputasi arkitek, kontraktor dan kepakaran para jurutera dalam pembinaan sesebuah rumah, pasti semua kita mahukan yang berkualiti tinggi. Kerana dengan reputasi tersebut, rumah akan terjamin selamat, selesa dan menenangkan.
Kerana keindahan wajahnya. Semua manusia sukakan kecantikan. Itu fitrah kita semua. Sang pemuda pastinya sukakan gadis yang cantik dan rupawan. Sekiranya mereka berjaya menawan hati gadis yang menjadi kegilaan ramai, pasti lelaki itu berasa bangga apatah lagi berjaya memilikinya sebagai isteri. Begitu juga dengan rumah yang kita bina. Pastinya kita semua mahukan rumah kita itu diserikan dengan hiasan yang cantik, dicat dengan warna yang menarik, dilengkapi dengan keindahan taman bunga yang indah. Hiasan dalaman yang menarik pasti merehatkan si pemilik.
Kerana ketaatan agamanya. Agama yang dimaksudkan semestinya Islam. Ketaan agama dapatlah diandaikan sebagai tapak rumah tersebut. Tak kira di mana-mana pun rumah yang kita bina, kita memerlukan tapak yang kukuh. Di tebing sungai, di atas lautan, di atas dataran tanah yang lapang... Semua itu memerlukan tapak asas yang kukuh bagi menjamin keselamatan rumah yang ingin kita bina dan miliki. Walau bagaimana cantik pun rumah itu, andai mudah roboh, tiada gunanya. Pakar macam manapun orang yang membuat rumah, kalau tapak binaan tidak selamat, tiada siapa yang berani mendiaminya. Walau mahal sekalipun perhiasan rumah kita, andai tapak rumah yang kita diami mudah runtuh, siapapun tidak mahu memiliki rumah tersebut. Begitulah wanita. Dengan asas dan penghayatan agama yang cemerlang dan dilengkapi dengan akhlak yang mulia, siapapun akan selamat bersama dengannya.
Ingatlah, kekayaan tidak berkekalan selamanya.Keturunan tidak menjamin baka yang mulia. Kecantikan akan pudar dengan sendirinya. Hanya iman dan amalan yang soleh akan kita bawa ketika mati. Dengan iman, wanita dapat mendidik anak-anak menjadi soleh solehah. Dengan iman, kecantikan wanita akan terserlah dengan sendirinya. Denagn iman, wanita akan sentiasa merasa cukup dan kaya dengan sendirinya...
Semoga kita semua mendapat pasangan yang baik untuk diri masing-masing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan