Rosli Dhobi
(1932-1950)
Al Fatihah
Kiranya belum terlambat lagi saya menulis tentang seorang pejuang yang paling saya kagumi dalam sejarah negara kita. Namanya mungkin tak dikenali ramai orang terutamanya yang bukan berasal dari Negeri Sarawak.
Bulan Mac, iaitu bulan ini merupakan bulan yang tak mungkin dilupakan oleh warga Sarawak kerana pada bulan inilah Rosli Dhobi menjalani hukuman gantung sampai mati.
Sedikit maklumat mengenai beliau. Beliau merupakan seorang remaja lelaki berasal dari Kampung Pulo, Sibu dan merupakan pelajar yang sangat pintar. Semasa masih bersekolah, beliau turut menjadi guru di sekolah rakyat di Sibu. Dilahirkan pada tahun 1932 dan meninggal dunia pada 2 Mac 1949, Rosli Dhobi merupakan pejuang termuda yang berani mengangkat senjata demi kepentingan agama dan negara (pada masa itu, Negara Sarawak).
Tidak tahan dengan diskriminasi dan dasar British yang tidak mahukan penduduk Sarawak menjadi golongan terpelajar, Rosli Dhobi nekad menyertai Rukun 13, satu organisasi sulit dalam penentangan pemerintahan British. Dengan usia yang masih remaja dan di bawah umur, mereka percaya bahawa Rosli Dhobi tidak mungkin dihukum mati. Percaya atau tidak, beliau baru berusia 17 tahun pada waktu itu!
Duncan Stewart, merupakan gabenor Sarawak kedua telah ditikam dengan badik, sejenis senjata beracun. Duncan Stewart dihantar ke Kuching untuk rawatan dan seterusnya di hantar ke Singapura untuk mendapatkan rawatan lanjut. Bagaimanapun, Duncan Stewart meninggal dunia seminggu kemudian.
Atas dasar itu, barangkali, Rosli Dhobi dijatuhi hukuman mati padahal pada waktu tu ramai yang membantah.
Amat memilukan, kuburnya tidak ditandai dengan nisan. Namun, setelah 46 tahun dikuburkan di Kuching Central Prison, jenazahnya dikuburkan di Sarawak's Heroes Mausoleum berdekatan Sibu Town Mosque pada 2 mac, 1996.Untuk mengingati perjuangannya dalam menentang British, Kerajaan Sarawak meletakkannya di bawah perkuburan negeri.
Atas semangat juang beliau dengan kalimat, "Sedikit pengorbanan membawa bayak perubahan", benar-benar menjadi kenyataan apabila rakyat Sarawak berbilang bangsa dan keturunan bersatu dalam menentang penjajah.
Berikut merupakan warkah terakhir yang ditulis beliau sebelum meninggalkan alam fana ini dan diharap menjadi pembakar semangat kita untuk terus berjuang dalam menjaga kemerdekaan negara kita. Semoga kita semua terus bersatu tanpa mengira kaaum, bangsa dan keturunan untuk terus berjuang dan berjuang demi negara yang tercinta ini.
Kepada ibu bapaku yang dimuliai dan ditaati serta dicintai siang dan malam.
1. Selamat berpisah anakanda ucapkan di atas kematian anakanda yang dahsyat. Janganlah diingat-ingat dan dirayukan kerana itu memang sudah nasib dan takdir anakanda yang tak dapat dielakkan dan dimungkirkan lagi.
2. Peliharakanlah adik dan kakak serta semua ahli kita - Berikan segala pelajaran sama ada `Sunat’ atau `Fardu’ kepada mereka.
3. Ampunilah dosa dan kesalahan anakanda dari merah tapak kaki dipelihara ayahanda dan bonda sehingga hari perpisahan anakanda. Dan halalkanlah makan minum anakanda.
4. Selimutilah jenazah anakanda dengan Panji Kebangsaan Sarawak.
5. Segala perkakas tulis menulis, buku dan pakaian anakanda itu, berikan semuanya kepada Adik Aini.
(Datuk Aini Dhoby adalah seorang pengasas Barisan Rakyat Jati Sarawak dalam tahun 1961 bersama dengan Tun Ahmad Zaidi, bekas Ketua Menteri Sarawak ketiga dan Yang Dipertua Negeri Sarawak keempat Tun Abdul Rahman Yaakub, dan Ketua Menteri Sarawak keempat Tan Sri Dr Abdul Taib Mahmud.
Barisan Rakyat Jati Sarawak atau BARJASA kemudian dinamakan Parti Bumiputra Sarawak dan akhirnya, Parti Pesaka Bumiputra Bersatu Sarawak atau PBB)
6. Sementara anak kecil Fatimah, berilah dengan nama ROSLI sempena memperingati anakanda.
7. Sampaikan salam hormat dan maaf serta selamat dari anakanda kepada ibu tua dan bapa saudara anakanda.
8. Ayahanda dan bonda serta ahli keluarga sekalian janganlah lupa mengamalkan kebajikan dan mendirikan sembahyang untuk bekalan istimewa ke alam yang kekal.
Salam sembah dari anakanda.
Rosli Dhoby
1 Mac, 1950.
(rujukan:http://www.carigold.com/portal/forums/archive/index.php/t-85479.html
http://en.wikipedia.org/wiki/Rosli_Dhobi)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan