Bunyi telefon bimbitku menyedarkan aku dari tidur petang. Tertera nama Emak. Tanpa bertangguh-tangguh aku menekan butang hijau.
"Assalamualaikum," bukan suara emak di sana.
"Waalaikummusalam. Kenapa, Bang?" Salam Adam aku jawab.
"Kak..." Tersekat-sekat suara Adam. AKu menanti penuh sabar. Namun, Adam terus membisu.
"Kenapa ni, Bang?" Masih seperti tadi, Adam hanya mendiamkan diri di hujung talian.
"Kak, Abah dah tak ada lagi," bagaikan halilintar menghentam tubuhku, gelap seluruh dunia ku rasakan sekarang. Kenapa abah pergi dulu sebelum sempat aku memohon ampun darinya.
"Bila, bang? Kenapa, bang?" Bertali arus soalanku mengasak Adam. Dengan sendu yang ditahan-tahan, Adam menjawab setiap pertanyaan ku.
Kata Adam, abah meninggal dunia selepas solat Asar. Dia mengadu sakit dada ketika sedang duduk di sejadah selepas mengimami emak. Aku sedih dan terkejut.
Selepas menerima panggilan daripada Adam, aku hanya membatukan diriku. Hendak menelefon Mamduh, aku tidak berani. Selama hampir setengah jam aku duduk tanpa berbuat apa-apa. Air mata tumpah tak tertahan sehingga bunyi alarm telefon bimbitku berbunyi. Aku bingkas bangun dari katil menuju ke bilik air untuk maencuci muka dan berwudhuk. Aku belum menunaikan solat asar.
Jam menunjukkan ke angka 5.30 petang apabila kereta Mamduh berhenti di hadapan rumah kami. Aku tidak segera membuka pintu dan membiarkan dia sendiri yang membuka pintu. Wajahnya ku lihat tanpa riak. Soalannya kenapa aku tidak membuka pintu ku biarkan sahaja. Aku tiada perasaan untuk menjawab setiap patah kata Mamduh. Berita pemergian abah membuatkan aku tidak berpijak di bumi yang nyata.
"Abang, abah dah pergi tinggalkan Mar," lemah suaraku menyatakan pemergian abah di hadapan Mamduh.
"Innalillah wainnailahirojiun," kendur suara Mamduh apabila melihat air mataku gugur.
Kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching tepat jam 10malam. Adam setia menanti kami di balai ketibaan. Suasana malam yang sejuk membuatkan aku terus dimain perasaan. Air mata yang tak henti-henti menitis membuatkan Mamduh seperti berlembut denganku. Aku hanya membiarkan apabila sekali-sekala tangannya memeluk erat bahuku. Hajah Naimah dan Haji Latif turut sama bersama kami untuk menziarah jenazah abah.
Setibanya kami di rumah, emak menyambutku dengan pelukan erat. Ku lihat adik-adikku tunduk dan mengesat air mata. Si bongsu meluru ke arahku dan tangisnya pecah ketika aku erat memeluknya. Sabarlah, dik. Ini dugaan buat kita semua.
Urusan jenazah telah selesai. Bersemadilah abah di alam baru meninggalkan kami semua. Pagi ini tidak secerah hari-hari lain. Emak kulihat sangat tabah di atas pemergian abah. Malam tadi Nabilah meracau-racau dalam tidurnya. Barangkali masih tidak dapat menerima ketiadaan abah kerana setiap malam abah pasti akan menjenguknya sebelum tidur. Maklumlah anak bongsu. Sufi pula ku lihat hanya diam. Tidak mahu berkata-kata. Farhana pula tidak henti sendunya. Adam sebagai lelaki sulung juga tidak mampu menahan air mata tatkala jenazah abah diturunkan di liang lahad. Sambut tangannya ketika di liang lahad sedikit goyah sehingga jemaah lain meminta agar Adam tidak turut serta di dalam lahad. Namun dia berkeras juga. Syafiq juga begitu. Melihat adik-adikku begitu begitu meruntun hatiku. Haji Latif dan Hajah Naimah setia bersama kami sehingga habis pengkebumian kerana petang itu mereka bertolak semula ke Kuala Lumpur.
"Abang, Mar nak minta izin pada abang untuk tinggal di sini sehingga minggu depan. Boleh ya, bang?" Pintaku pada Mamduh. DIa tidak terus menjawab. Ada riak keras di wajahnya tapi dalam masa yang sama dia cuba untuk tidak memprotes pintaku.
"Em...Aku tak dapat nak lama-lama di sini. Hari Rabu kita balik ke KL," jawab Mamduh membuatkan aku semakin bersedih. Bukan aku pinta untuk dia menemaniku sepanjang seminggu di sini. Tetapi sekurang-kurangnya membenarkan aku untuk duduk bersama keluargaku sehingga Ahad depan. Mungkin emak dan adik-adikku memerlukan aku di sini. Namun aku tidak pula berani membantah Mamduh. Cukup bersyukur aku apabila Mamduh sudi bersama kami sehingga Rabu.
Isnin, 15 Mac 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan