Gastrik menyerang ku lagi. Mujurlah hari ini tiada kelas kerana minggu belajar sudah bermula. Minggu depan peperiksaan akhir akan bermula. Melihat wajahku yang pucat, Aisyah mengambil minyak panas dan menyapu ke perutku.
"Itulah kau. Aku ajak sarapan tak nak. Ni lah jadinya kalau makan tak jaga," sempat pula Aisyah membebel. Aku tersenyum kelat dengan bebelan Aisyah. Dia memang baik dan sangat mengambil berat tentang diriku. Cuma kadang-kadang aku rimas apabila dia asyik bertanya hal aku dengan Mamduh. Jenuh sudah aku menipu dengan menyatakan bahawa aku sendiri yang meminta izin pada Mamduh untuk tidak pulang ke rumah kerana sibuk dengan peperiksaan akhir yang bakal menjelang apabila sudah hampir dua bulan aku tidak pulang ke rumah Mamduh. Dan sudah bosan aku mendengar bohongan aku sendiri.
Kesan minyak panas sedikit sebanyak melegakan sakit perut. Dalam masa yang sama migrain ku mula menyerang. Terpaksa pula aku meminta Aisyah untuk memicit-micit kepala ku. Biasalah kalau dah gastrik, kepala pun sakit.
"Mengada betullah kau ni, Mar," sambil memicit kepala, Aisyah sempat mengataku. Seronok pula aku mendengar bebelan Aisyah.
* * * * * * * * * * * * * * * * * * * *
Peperiksaan akhir semester telah tamat. Aku mengambil keputusan untuk menghubungi Mamduh. Setelah berkali-kali mendail nombor telefonnya, akhirnya Mamduh menyahut panggilanku. Namun belum sempat aku bercakap, dia terlebih dahulu memintasku.
"Kita jumpa di rumah petang ni. Nanti aku ambil kau pukul 7 nanti," KLIK! Dia terus meletakkan telefon.
Aku berkemas ala kadar sementara menanti Mamduh mengambilku. Aisyah dan teman serumahku yang lain sudah pulang ke kampung masing-masing. Cuti semester sudah bermula.
"Kita berpisah sementara waktu. Bagi aku waktu untuk memikirkan tentang kita," tutur Mamduh menyentap hatiku.
Tanpa sebab yang kukuh, Mamduh membuat keputusan sebegitu. Walaupun aku mengakui bahawa tiada cinta antara kami, tapi aku takut untuk menerima kemungkinan bahawa perpisahan menantiku setelah kira-kira setahun kami menjadi suami isteri. Segalanya telah ku serahkan pada Mamduh walau tidak dengan sepenuh hatiku. Aku tidak tahu apa yang bakal ku jawab seandainya emak bertanya tentang hubungan kami.
"Nadia dan aku telah berbincang yang kami akan berkahwin selepas hari raya nanti. Kalau kau dah lupa, Nadia adalah kekasih ku yang ku katakan sebelum kita kahwin dulu. Dia baru habis belajar," lancar tutur Mamduh selancar panahan kilat menusuk ke tangkal hatiku. Sedari dulu sepatutnya aku bersedia dengan kemungkinan ini.
"Cuti semester ni, aku izinkan kau balik ke Kuching. Hari raya nanti mungkin aku tak balik ke sana," tambah Mamduh lagi.
Minggu depan bulan Ramadan bermula. Bermakna sebelum kuliah bermula, terlebih dahulu hari raya akan disambut. Dan bermakna aku harus menyediakan jawapan untuk emak dan orang kampung tentang ketiadaan Mamduh bersamaku sepanjang cuti ini nanti.
Tanpa menambah kata-kata Mamduh aku hanya mengangguk dan bersetuju dengan semua rencana nya. Petang esok sebelum pulang ke Kuching, terlebih dahulu kami berdua akan pergi ke rumah orang tua Mamduh.
Selasa, 16 Mac 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan