Rabu, 19 Mei 2010

Liku Hari Ku (13)

Hari raya dijangka empat hari lagi. Kemeriahan semakin terasa. Usia kandungan hampir tiga bulan tidak membataskan pergerakan ku. Bahkan aku semakin aktif. Cuma aku tidak boleh menghidu makanan seperti sambal belacan dan kari kerana boleh membuatkan aku muntah. Dan emak tidak lagi bertanya tentang Mamduh denganku.

Usai solat terawih pada pukul 9.30 malam di masjid yang tidak jauh dari rumah kami, aku segera balik ke rumah. Aku berasa tidak sedap badan dan meninggalkan emak untuk pulang bersama-sama dengan adik-adik ku yang lain. Di rumah, aku terus berlari ke tandas. Segala yang telah dimakan harus dimuntahkan dengan segera. Kepala yang berdenyut-denyut memaksa aku untuk masuk ke bilik tidur, untuk berehat. Lagipun di kampung ini, jam 10 malam sudah lewat benar.

Sebelum aku melangkah masuk ke bilik tidur, Farhana menegurku. Dia tidak ikut serta ke masjid kerana haid.

"Kak sihat tak ni? Ada orang jauhlah,kak," kata Farhana membuatkan aku berhenti melangkah. Siapa pula datang malam-malam ni?

"Dia ada..." tidak habis ku dengar kata-kata Farhana, kepalaku berdenyut kembali. Tidak betah aku untuk berdiri lebih lama lagi. Aku harus segera berehat.

Aku segera berbaring di atas katil. Baru aku perasan, lampu bilik dan kipas sudah terpasang. Namun, aku terlalu letih dan mata semakin berat.

Kerana terasa panas, aku membuka mataku. Alangkah terkejutnya aku apabila ada seseorang sedang memelukku. Kaget dengan situasi itu, aku mula menjerit. Serta itu, satu lagi tangan menekup mulutku.

"Shh. Jangan jerit. Aku ni," Suara yang paling aku kenali berbisik di telinga. Seraya itu, aku melonggarkan pelukannya.

"Bila sampai?" Walaupun Mamduh sudah banyak kali menyakiti aku, sebagai isteri aku tetap menghormatinya. Tangannya ku salam dan kucup.

"Emak tak cakap aku balik hari ni?" Dia menjawab dengan soalan. Mamduh bangun dari katil dan meuju ke luar bilik. Tidak lama selepas itu, suara emak dan Mamduh kedengaran. Dengan lemah, aku bangun menapak ke luar bilik, untuk turut serta dengan mereka.

Tiada ulasan: