Rabu, 6 April 2011

Saya Bukan Taksub

Lewat kebelakangan ini, saya sering tertarik untuk mengikuti kisah politik negara kita..Kenapa ya? Eh, bukan. Saya mahu tegaskan bahawa saya bukan peminat politik, lebih-lebih lagi bermain politik. Saya cuma ingin membicarakan perkara benar serta mengumpulkan kekarutan agar minda saya tidak bercelaru dengan yang fakta dan auta.

Sebagai warganegara yang prihatin saya tidak boleh memandang sebelah mata tentang apa-apa yang sedang terjadi di dalam negara saya. Waima saya seorang pelajar institusi tinggi negara, bukanlah menjadi alasan untuk saya terus-menerus membiarkan kebatilan bermaharaja lela. Allah telah mengurniakan mata untuk saya melihat, telinga untuk saya mendengar berita, akal untuk saya menganalisa data serta hati untuk saya jatuhkan hukum benar dan salahnya.

Ya, saya berhak membicarakan setiap perkara yang beredar di persekitaran saya kerana saya juga terlibat sama. Saya yang mendengar dan saya juga yang melihat. Undang-undang diadakan untuk kita patuhi bukan kuasai. Jadi, saya tidak gentar kalau ada siapa-siapa yang cuba merobohkan keberanian saya dan mencela bicara saya kalau ternyata benar. Kalau salah, saya terima dan perbaikinya.

Dan antara yang paling utama adalah saya rakyat Sarawak. Saya tertekan kerana negeri saya sering dipermainkan. Hanya kerana pilihanraya, barulah pemimpin sibuk mengambil tahu tentang negeri saya. Kalau bukan kerana pilihanraya, jangan haraplah batang hidung mereka nampak. Dan semasa kecil dahulu, saya tidak faham kenapa setiap kali pilihanraya, pasti ada beberapa orang lelaki mahupun wanita datang ke rumah menyerahkan sejumlah wang dan menasihati agar memangkah tanda *************. Dan paling menakutkan mereka ini pergi ke setiap rumah. Ingat lagi saya ketika itu, setiap rumah/ individu mereka bagi RM10. Bayagkan RM10 kira-kira 15tahun yang lepas. Betapa besar nilainya. Sekarang barulah saya faham, itulah yang dikatakan politik wang.

Makanya, dalam soal kecelaruan kebebasan politik, dan saya sebagai belia muda tonggak negara mestilah sentiasa peka dalam memilih pemimpin negara. Saya tidak mahu nasib anak-anak saya musnah pada masa hadapan. Cukuplah nasib saya dan seangkatan dengan saya sengsara dengan kebejatan politik negara. Sekarang ini, apabila saya sudah ada hak bahkan "dipaksa" untuk mengundi, mana-mana pihak mahupun kerajaan dan IPT tidak boleh melarang atau menghalang saya daripada memilih siapa-siapa sahaja yang saya mahu untuk menjadi pemimpin saya..

Tiada ulasan: