Mentari serasa panas membahang. Air mengalir bukan lesu tapi segarnya menyentap sehingga bergetar setiap nadi dan lesunya jiwa dapat ditukas. Barangkali aku akan malar merasai dua perkara yang sama akan panas yang pasti membahang dan alir air segar ke jiwa ku.
Saat-saat lama kian berbalam dalam pupuk ingatan. Lantas memeras otak untuk terus aku panggilkan dan kejapkan ke ruangan minda kenangan. Namun bukan mudah untuk aku kumpulkan sisa-sisa kenangan kerana aku tahu ada pahit terselit pada setiap noktah langkah ingatan itu.
Barangkali aku sememangnya sengaja untuk membiarkan barang kenangan dibuang tanpa harga. Atau mungkin aku sengaja tidak rela mahu menyimpannya lantaran jiwa terasa sakit dan hati kian membengkak mengingati peristiwa lama. Tapi siapa harus aku tudingkan kesalahan kenangan sakit ini? Pada teman dan taulan jauh sekali kerana sayangku tinggi menggunung buat mereka. Pada diri sendiri juga payah aku menuduhnya atas kesalahan tak bertulis dan tidak terucap kerana aku tahu aku sengaja membuatkannya tampak begitu.
Buntu dalam kenangan dan sinar mendatang kian berbalam. Bilakah harus aku menongkah arus untuk menidakkan kesakitan yang bermaharajalela di hati? Aku tahu hati aku seperti manusia lain, ada masanya bunga-bunga wangi menghiasi dan ada kalanya duri busuk menusuk terperangkap di celah-celah hati.
Jadi aku usulkan agar aku kembali kepada aku sendiri. Usah aku pertanyakan lagi akan sebab dan musabab setiap perihal. Jadi aku mesti menerima segalanya dengan hati terbuka agar duri terus terlepas tidak lagi mencengkam dan membenarkan wangian bunga masuk terkumpul ke ruangan sanubari.
Atas peluang ini, kenangan lama akan aku simpan tidak lagi bersawang, dan harapan akan ku suluh agar balamnya cahaya tiada lagi. Biar kaki melangkah melawan arus agar tidak hanyut lagi dan terus berlari meninggalkan yang tak pasti.
Ahad, 18 April 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan